Tuesday 15 November 2011

Kebebasan Mutlak Media Baru Akan Membawa Bencana Kepada Keharmonian Sosial

Revolusi hebat berlaku terhadap media apabila lahirkan media baru. Media baru telah membuka ruang kepada para pengguna untuk lebih bebas bersuara serta mewartakan apa sahaja isu yang berlaku di dalam masyarakat kita mahupun negara. Kesahihan atau sensitiviti sesuatu isu tersebut sudah tidak menjadi perkara penting dalam penggunaan media baru ini.
Racism, pornografi,isu politik dan lain-lain lagi sudah menjadi makanan dalam media baru. Dahulunya, laman sosial seperti Facebook kononnya dijadikan medium penghubung bagi dalam masyarakat. Namun medium yang dianggap sebagai penghubung itu telah dijadikan sebagai medium untuk menggulingkan kerajaan oleh beberapa pihak. Sebagai contoh laman 100, 000 people request Najib Tun Razak Resignation, 500,00 Rakyat Malaysia menyampah dengan Rosmah Mansor dan lain-lain lagi.
Bukan sahaja mengenai politik, media baru ini juga turut mengandungi isu-isu keagamaan yang berbaur hinaan. Alangkah sedihnya  melihat laman-laman seperti ini ada di dalam masyarakat kita yang mana dahulunya gah dipuji di atas keakraban dan keharmoniannya walaupun mempunyai perbezaan dari segi budaya, bangsa dan agama.
Kebebasan yang mutlak dalam Media Baru akan membawa bencana kepada keharmonian sosial negara kita. Mengapa tidaknya, setiap orang bebas untuk menulis dan membaca apa-apa sahaja yang terkandung dalam media baru tanpa sekatan. Perkara-perkara atau isu-isu negatif yang ditulis dalam laman sosial Facebook akan bebas dibaca dan dikongsikan kepada individu yang lain dengan mudahnya. Dengan hanya menekan butang SHARE, sepantas kilat informasi atau penulisan tersebut boleh dibaca oleh individu yang lain.
Mungkin ada yang melihat situasi ini tidaklah terlalu serius namun ramai yang tidak sedar bahawa penyalahgunaan  media baru ini akan membawa bencana kepada keharmonian sosial dalam masyarakat kita. Lebih membimbangkan lagi, pengguna yang paling ramai yang menggunakan media baru ini adalah golongan remaja yang merupakan bakal pemimpin negara kita pada masa akan datang. Bayangkan sekiranya generasi ini disuntik perkara-perkara negatif daripada media baru ini, masih wujudkah keharmonian sosial mereka kelak?
Budaya-budaya barat yang sangat bertentangan budaya masyarakat kita yang bebas dipaparkan dalam media baru akan mempengaruhi masyarakat kita. Boleh dikatakan isu ini semakin lapuk yang mana ramai yang telah menyuarakannya. Walaubagaimanapun, isu ini seolah-olah tidak dipandang serius kerana masyarakat masih lagi bebas membaca atau melihat video-video yang berkaitan dengan budaya negatif ini. Video homoseksual masih lagi bebas dipertontonkan di dalam laman YOUtube dan tidak hairanlah pendedahan mengenai homoseksual ini semakin merebak. Masyarakat yang terlibat dalam kegiatan homoseksual ini tidak lagi segan silu sehinggakan ada di antara mereka menubuhkan kelab homoseksual di laman sosial seperti Facebook. Kelab Gay Malaysia merupakan salah satu kelab homoseksual yang baru sahaja ditubuhkan di dalam Facebook dan sehingga kini seramai 1853 individu yang menyertai kelab tersebut dan secara tidak langsung kelab ini telah memberi galakkan kepada masyarakat kita untuk menyertai aktiviti hubungan songsang ini. Budaya ini adalah sangat bertentangan dengan budaya negara kita lebih-lebih lagi majoriti rakyat di negara kita adalah Islam.

Walaubagaimanapun, kebebasan mutlak media baru tidak seharusnya dipersalahkan 100% dalam membawa bencana kepada keharmonian sosial. Dalam aspek keharmonian sosial, kesedaran untuk bersatu padu dalam masyarakat amat penting. Kepincangan keharmonian sosial dalam masyarakat tidak seharusnya dituding pada mana-mana pihak atau medium. Pengguna media baru haruslah bijak dalam menentukan informasi yang hendak ditulis atau dibaca supaya tidak mempengaruhi diri sendiri dan juga orang lain. Bukti dan ketepatan mengenai sesuatu isu atau informasi haruslah dikaji supaya tidak terpengaruh dengan unsur-unsur yang boleh menyebabkan bencana dalam keharmonian sosial kita. Oleh itu, bersama-samalah kita menilai serta menjadikan media baru ini sebagai media yang penuh dengan informasi yang membina dan bukan menjadikannya sebagai “medium bencana” dalam keharmonian sosial di dalam negara kita.