Monday 31 October 2011

KEBIADABAN DUNIA SIBER

Menyingkap kembali penulisan Dr Rahmat yang bertajuk Kebiadaban Dunia Siber amat menggambarkan realiti sebenar dunia siber. Kini, kebiadaban dunia siber semakin tampak hebatnya tambahan lagi dengan lambakan teknologi canggih seperti Iphone, Ipad dan lain-lain lagi.
Medium “perhubungan tanpa batasan” ini telah turut melahirkan generasi yang lantang bersuara mengenai apa jua perkara. Malangnya, kini ramai yang menjadikan internet sebagai “diari kehidupan” yang mana dijadikan sebagai tempat meluahkan perasaan dan melaporkan aktiviti harian mereka. Tidak melampau sekiranya dikatakan bahawa turut ada yang “bertuhankan Internet”.
Ramai masyarakat siber ini tidak lagi segan silu untuk menzahirkan perasaan mereka di laman sosial seperti Facebook, Twitter dan sebagainya. Adab dan sopan sudah tidak menjadi perkara utama tika bersosial di laman ini. Gambar-gambar peribadi telah pun menjadi gambar perkongsian yang boleh dilihat oleh sesiapa sahaja.
Etika dan privasi sudah dipandang remeh malah tidak dapat disangkal lagi penggunaan kata-kata kesat, caci maki serta carutan telah menjadi kebiasaan dalam dunia siber. Perbincangan atau percanggahan pendapat mengenai politik sudah menjadi kebiasaan. Bukan sahaja politik, malah perbalahan sesama kaum serta saudara seolah-olah sudah menjadi trend di dunia siber.
Bukan hendak menyalahkan sesiapa tetapi inilah realitinya. “ Namun ramai yang lupa bahawa kebebasan daripada kekangan penapisan tidak pula membebaskan pengguna Internet daripada Akta Fitnah, Akta Rahsia Rasmi, dan Akta Keselamatan Dalam Negeri ” (Dr. Rahmat Ghazali). Setuju dengan pendapat Dr Rahmat yang mana ramai yang telah membutakan mata terhadap wujudnya akta  yang mengikat pengguna daripada kebebasan dalam internet.
Peraturan negara tidak dipandang serius apatah lagi “peraturan” yang telah ditetapkan oleh Tuhan kepada umat manusia. Amat menyedihkan apabila melihat umat Islam juga turut yang terlibat dalam kebusukan dunia siber ini. Fitnah, caci maki dan penyataan yang negatif yang boleh menjatuhkan orang lain dinyatakan secara terbuka dijadikan sebagai hobi tanpa rasa bersalah.
Riwayat Imam Muslim disebutkan: “ Dan barangsiapa yang mati dan ia menjadi orang yang memecah belah persatuan ummat – kaum Muslimin, maka sesungguhnya ia mati dalam keadaan mati jahiliayah”. Bukan hendak memfokuskan kepada agama Islam tetapi kita percaya agama lain juga turut menyeru umatnya supaya menjauhi perkara negatif dan sentiasa menjaga adab sopan walaupun berada di mana sahaja. Jelas dan nyata dunia siber telah “menyuntik” masyarakat supaya menganggap dunia ini adalah alam kehidupan yang kekal.
Jika dahulunya si anak bersikap kurang sopan atau kurang ajar, pukulan dan tamparan daripada si ayah atau si ibu akan menjadi pengajaran kepada si anak. Namun kini dunia siber telah membebaskan si anak untuk berlaku sedemikian tanpa pengetahuan ibu bapa mereka.
Pendedahan terhadap kebiadaban dunia siber ini secara tidak langsung akan melahirkan generasi yang tidak sopan. Situasi yang tampak kecil seperti inilah akan membuahkan masalah yang besar dalam masyarakat seperti rasicm. Jesteru, tidak hairanlah jika suatu hari nanti tiada lagi semangat persaudaraan dan berlakunya perbalahan sesama sendiri.
Malah rukun negara yang ke lima iaitu Kesopanan dan Kesusilaan berkemungkinan hanya tinggal sebagai simbol negara. Begitu juga etika yang merupakan ibu kepada akhlak telah berkemungkinan akan dilupakan. Isu perkauman yang semakin membarah kini dan tidak sepatutnya ditunding kepada pihak lain. Walaubagaimanapun sesiapapun kita, renung-renungkanlah usah nanti sudah terhantuk baru hendak terngadah.
                                

1 comment: